Saturday, July 26, 2008

Muzakarah isu positif

Oleh Khairul Azran Hussin
bhnews@bharian.com.my

Boleh bina perpaduan bangsa

KUALA LUMPUR: Kesediaan barisan pemimpin tertinggi Pas meneruskan perbincangan dengan Umno berhubung isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam negara ini, dilihat sebagai satu permulaan positif ke arah membina perpaduan serta memartabatkan bangsa.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata perbincangan itu akan membuka ruang kepada pemimpin Islam dan Melayu di negara ini untuk kembali memikirkan mengenai masa depan bangsa dalam konteks yang menyeluruh.


"Pada saya, atas apa pun nama platform perbincangan itu diadakan, ia harus dilihat secara holistik kerana matlamat utamanya ialah menyatupadukan orang Melayu serta menjamin ketuanan bangsa terpelihara.

"Ini sekali gus dapat memastikan tiada pihak cuba mengambil kesempatan menjayakan agenda mereka sendiri dengan memecahbelahkan perpaduan di kalangan orang Melayu di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam bahawa pemimpin tertinggi parti itu bersetuju meneruskan perbincangan dengan Umno berhubung isu kepentingan orang Melayu dan Islam.

No comments: