Saturday, July 26, 2008

Terengganu kena guna Perdana

Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my


BEBAS MEMILIH: Exco Kesihatan Terengganu, Dr Rahman Mokhtar menaiki E200 Kompressor untuk mesyuarat Exco Terengganu di Kuala Lumpur, semalam.

Anggota pentadbiran negeri diarah guna kereta nasional bukan Mercedes: Shahrir

PUTRAJAYA: Kerajaan Terengganu sewajarnya menggunakan kereta Proton Perdana Eksekutif, bukannya Mercedes Benz, sebagai kenderaan rasmi ahli Exconya sebagaimana ditetapkan dalam arahan Perbendaharaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata arahan Perbendaharaan itu jelas menyatakan kereta Proton Perdana Eksekutif adalah kenderaan yang diguna anggota pentadbiran kerajaan.


"Sudah ada arahan Perbendaharaan mengenai anggota pentadbiran seperti menteri, timbalan menteri dan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri perlu memakai Proton Perdana dan bukan terbuka kepada kenderaan yang dipasang dalam negara (CKD).

"Mungkin kerajaan Terengganu salah faham mengenai arahan berkenaan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Beliau ditanya perbincangan mesyuarat Kabinet semalam berhubung isu pembelian 14 kereta Mercedes Benz E200 Kompressor bernilai RM3.43 juta oleh kerajaan Terengganu bagi kegunaan rasmi anggota Exco dan pegawai kanannya.



Bagaimanapun, katanya, Kabinet tidak membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu kerana arahan Perbendaharaan sudah jelas.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, sebelum ini, mempertahankan tindakan kerajaan negeri dengan alasan pembelian kereta baru itu lebih menjimatkan bagi jangka masa panjang kerana kos penyelenggaraan Proton Perdana lebih tinggi kerana masalah kotak gear dan cakera brek.

Mengulas perkara itu, Shahrir berkata, kerajaan Terengganu sepatutnya melaporkan terus masalah itu kepada Proton untuk diperbetulkan.

No comments: